Jambori Pengakap Malaysia Kali Ke-15
Sebuah Legasi Kecemerlangan
Jambori Pengakap Malaysia Kali Ke-15 (2026) merupakan acara bersejarah yang amat signifikan kerana ia dilaksanakan bersempena Sambutan Jubli Intan, menandakan 60 tahun kesinambungan dan kecemerlangan gerakan Pengakap Malaysia dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berakhlak dan berbakti kepada negara. Penganjuran jambori ini bukan sekadar satu perhimpunan kebangsaan, malah menjadi simbol penghargaan terhadap perjuangan, pengorbanan dan sumbangan tokoh-tokoh Pengakap sejak penubuhannya.
Penyertaan dalam jambori ini memberi peluang kepada ahli Pengakap untuk menghayati sejarah dan warisan kepengakapan negara. Melalui pengisian khas Jubli Intan seperti pameran sejarah kepengakapan, program penghargaan tokoh dan aktiviti berteraskan nilai tradisi Pengakap, peserta akan dapat memahami dan merasai evolusi gerakan ini serta peranannya dalam pembangunan sosial dan pendidikan negara sepanjang enam dekad yang lalu.
Selain itu, Jambori sempena Jubli Intan ini menjadi medan menyambung legasi dan membina masa hadapan. Peserta bukan sahaja didedahkan kepada nilai asas kepengakapan, malah digalakkan untuk meneruskan amanah dan tanggungjawab generasi terdahulu dengan pendekatan yang lebih relevan, inovatif dan berdaya saing sejajar dengan cabaran masa kini dan masa depan. Jambori ini memperkukuh ikatan persaudaraan nasional dan antarabangsa sebagai manifestasi kematangan gerakan Pengakap Malaysia selepas 60 tahun penubuhan. Kehadiran peserta daripada seluruh negara dan kontinjen antarabangsa melambangkan kekuatan jaringan, kepercayaan serta pengiktirafan terhadap peranan Pengakap Malaysia di peringkat global.
Berlangsung di lokasi yang strategik di sebuah negeri yang maju, moden dan permai. Kaya dengan keindahan alam semula jadi, memiliki kepelbagaian budaya serta menyimpan khazanah sejarah dan diiktiraf sebagai tapak warisan yang bertaraf dunia. Jambori yang mengangkat tema “Menjejak Warisan, Membina Masa Depan” dirancang dengan teliti mengambil kira keadaan cuaca dan iklim semasa pada kedudukan yang terbaik. Inilah masanya kita zahirkan legasi kecemerlangan Pengakap di persada antarabangsa. Jom sertai kami di Jambori Malaysia Ke-15 di Pulau Pinang.